Setakat sakit bengkak-bengkik kat muka, itu suma perkara enteng dalam kehidupan aku yang bergelar seorang peninju. Bayangkanlah dalam seminggu paling banyak tiga perlawanan yang perlu aku sertai, kesemua perlawanan ini aku anggap hanya sebagai latihan pada diriku. Manakan tidak, pihak lawan semuanya terdiri dari wajah-wajah baru yang hendak menempa nama, mana nak sama dengan aku yang telah hampir sepuluh tahun bergelumang dengan dunia penuh pancaroba ini, sekali aku bagi penumbuk tepat di dahi, hasilnya memang lumayan, tak terduduk, tersungkurlah keputusannya. Ada juga yang tertelan gigi sendiri. Hinggalah suatu hari ada pihak yang mencabar aku supaya bertanding dengan beliau, dan apabila bersua muka ternyata dialah seteru aku dahulu, musuh ketat yang teramat ketat macam baju yang menyarung buah nangka.
Kami pun menetapkan tarikh, dan setelah dua minggu masing-masing menjalankan latihan masanya pun tiba. Digelanggang ini akan menjadi bukti pertumpahan darah yang menyembur dari mulut ke mulut. Aku yang berbaju merah tenang ketika menuju masuk ke dalam kawasan gelanggang, terdengar hiruk pikuk peminat melaungkan namaku beramai-ramai. Semangat aku menjulang setinggi api yang membakar hotdog dan sosej ketika sesi barbeque.
Aku tidak akan sekali-kali menghampakan mereka, aku pasti ramai yang menaruh harapan tinggi, bukan sekadar menaruh tapi ada juga yang bertaruh, bukan calang-calang taruhan yang mereka lakukan, ada yang bertaruh wang, geran tanah, geran rumah, bini pun ada dan lagi dasat mencagarkan perniagaan usaha sendiri tandas awam pun ada. Aku bengang juga kadang-kadang, tapi kalo sudah tahi judi tu tahi judi jugalah jadinya. "Ting ting", bunyi itu menandakan pertarungan sudah bermula, aku menuju dengan pantas ke arah lawan, tapi dengan pantas juga dia memberi tumbukan tepat, berpinau mata hitamku. Tapi itu semua tidak lama, aku bangun semula dengan hentaman bertubi-tubi seperti lagak makcik memukul telur untuk dibuat kuih bahulu. Aku menang pertarungan ini pada set yang ke seratus lapan belas. Masing-masing muka sudah tidak rupa muka, jurulatih aku sempat begurau mengatakan wajahku seperti kuih apam yang mengembang, aku tersenyum sakit, ya aku memang suka apam yang kembang dan tembam.
Namun langit tidak sentiasa cerah, kegembiraanku menjulang piala hanya sebentar, sewaktu perjalanan pulang ke rumah, kenderaanku ditahan di tengah-tengah jalan raya, aku keluar dengan seribu pertanyaan, ada orang nak minta tolongkah fikirku. Sayup-sayup kedengaran orang ketawa dari belakang dan aku amat mengenali derai tawa tersebut. Tepat sekali sangkaanku, musuh aku yang baru sebentar tadi aku kalahkan dengan penuh kemaluan berada dibelakangku. "Wooo, ko ingat ko handal ye, aku masih belum berpuas hati, boooooyyy !! lanyak dia sekarang, apa tunggu lagi !!!!" jerit beliau pada anak-anak buahnya. Bengkak-bengkik di wajahku masih belum surut, sekarang ini ditambah pula dikeroyok ramai-ramai. Aku rasa diriku lumat seperti daging kisar keluaran Ramlee Burger. Aku rebah tersungkur tanpa sedar lagi.
Lapan hari aku terlantar di hospital, jururawat-jururawat yang bertugas merawat aku dengan baik, ada juga pesakit-pesakit lain yang mengenali aku bersembang sebagai teman. Setelah aku mendapat pengesahan doktor dan telah pulih sepenuhnya, aku dibenarkan keluar. Aku juga tidak berpuas hati dan segera mengumpul rakan-rakanku, aku ingin membuat perhitungan semula dengan musuhku itu. Kurang ajar sungguh dia, kalau dia boleh berbuat bangsat, aku juga boleh membalas lebih dari itu. Pertemuan diaturkan, dan malam itu juga kami dijadualkan berentap dan aku membekalkan kain merah pada setiap rakan-rakanku untuk diikat dikepala masing-masing supaya kami tidak terpukul sesama sendiri. Darah perlu dibayar darah, seluar dalam ku yang koyak tempoh hari akan aku balas juga dengan koyak. Akhirnya kedua-dua kumpulan bertembung, dimulakan dengan acara berbalas carut sebelum masing-masing memakan penumbuk.
Dan malam itu telah terjawab segalanya, apabila rakan-rakan musuhku semakin ramai yang tumbang menyembah bumi dan ada juga yang cabut lari. Musuhku ditinggalkan sendirian. Kami pelupuh dia cukup-cukup sehingga dia meminta ampun dan tidak akan mengulanginya lagi. Nasi sudah pun menjadi bubur. Sudah terlambat untuk ucapan sedemikian, kini giliran beliau pula terlentang seperti mana aku merasainya hari itu. Barulah dia tahu erti penyesalan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya hinggap di pokok kaktus, memang enak sekali rasanya. Malam itu kami semua pulang tanpa penyesalan di dalam hati, kesemua yang hadir tersenyum puas, inilah latihan meninju yang amat terbekesan sekali - TAMMAT
No comments:
Post a Comment